Advertisement

KPDN Laksana Program Servis Ihsan Madani@ PETRONAS Auto Expert Sempena Sambutan Aidilfitri 2025 – Sabah News

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan Pelaksanaan Program Servis Ihsan Madani@ PETRONAS Auto Expert (SIM@PAX) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025.

KPDN dalam satu kenyataan berkata, SIM@PAX merupakan inisiatif baharu kerajaan di bawah agenda Payung Rahmah Madani yang telah dimulakan pada 24 Januari 2025 ketika menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina 2025.

Dalam pada itu, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program kerjasama strategik KPDN dan PETRONAS ini menyasarkan pemberian manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dalam mendepani cabaran kos sara hidup melalui penjimatan kos bagi penyelenggaraan kenderaan sempena sambutan musim perayaan utama di Malaysia.

“Melalui SIM@PAX, para pengguna berpeluang mendapatkan
diskaun bagi perkhidmatan servis kereta termasuk produk minyak pelincir jenis mineral dan semi sintetik tulen antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.

“Melihat kepada sambutan yang menggalakkan dan manfaat yang diperoleh daripada program ini, pelaksanaan SIM@PAX sempena Hari Raya Aidilfitri akan diperluaskan dengan menawarkan perkhidmatan servis kenderaan dan minyak pelincir untuk kenderaan jenis diesel,” katanya di sini, semalam.

Peluasan jenis minyak pelincir diesel ini adalah untuk membantu pengguna kenderaan jenis diesel khususnya di Sabah dan Sarawak agar dapat menikmati manfaat ini, selain membantu para peniaga kecil yang menjadikan kenderaan jenis enjin diesel
seperti trak pikap sebagai kenderaan utama.

SIM@Pax Hari Raya Aidilfitri akan berlangsung bagi tempoh 15 hari bermula dari 15 hingga 29 Mac 2025 melibatkan 96 buah bengkel PETRONAS AutoExpert sedia ada di seluruh Malaysia.

Lokasi bengkel yang terlibat boleh disemak dengan melayari laman sesawang www.mymesra.com.my dan orang ramai adalah dipelawa untuk membuat tempahan janji temu servis kenderaan bermula hari ini menggunakan aplikasi Setel.

Semalam, KPDN telah menjayakan Program Ikhlas Ramadan bersama Gas PETRONAS melalui pemberian sumbangan berbentuk Gas PETRONAS kepada 100 orang peniaga Bazar Ramadan Tapak Tamu Mingguan di Papar.

Ini termasuklah sumbangan penukaran silinder Gas PETRONAS secara percuma diberikan sebanyak dua kali kepada penjaja yang terlibat.