KOTA KINABALU: Jumlah mangsa terjejas banjir terus meningkat kepada 4,122 mangsa setakat jam 8 pagi hari ini daripada 3,579 mangsa pada jam 8 malam semalam yang membabitkan lima daerah.
Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan lima daerah tersebut ialah, Beaufort dengan jumlah mangsa seramai 1,339, diikuti daerah Sook (1,031 mangsa); Membakut (872 mangsa); Tenom (743 mangsa); dan Keningau (137 mangsa).
Jumlah keseluruhan mangsa banjir ini mewakili 1,357 Ketua Isi Rumah (KIR).
“Susulan itu, sebanyak 20 Pusat Pemindahan telah diaktifkan bagi menempatkan kesemua mangsa terjejas banjir ini termasuk satu Pusat Pemindahan Kekal (PPK), iaitu PPK Dewan Selagon di daerah Beaufort.
“Selain itu, sebanyak empat PPS diaktifkan di daerah sama termasuklah, Dewan DSP Dun Banir, Dewan Bisaya, Dewan Residensi Prima dan Dewan Kukut.
“Manakala dua lagi PPS diaktifkan di Membakut melibatkan, Dewan Kesenian Islam Membakut dan Dewan Seri Bongawan serta dua PPS untuk daerah Keningau melibatkan Dewan Masyarakat Daerah Keningau dan Dewan Dato Angian Andulang, Apin-Apin,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, tiga PPS diaktifkan di daerah Sook yang melibatkan Dewan Membulu, Sook, Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan II, Sook dan Dewan Kampung Ansip Tengah.
Bagi daerah Tenom pula jumlah PPS yang diaktifkan adalah sebanyak lapan melibatkan Dewan Batu-Batu, Sekolah Kebangsaan Mandalam Lama, Dewan Sri Antanom, Dewan Jinuin Jimin, Kampung Mandalom Lama, Rumah Kebudayaan Poguokon Laut, Pantungon Saga dan Sekolah Kebangsaan Saga.