SEMPORNA: Seorang lelaki warga China berusia 34 tahun yang melakukan aktiviti selaman di perairan Pulau Mabul di sini ditemukan lemas semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Sabri Zainol berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian pada jam 2.36 petang.
“Pengadu merupakan seorang instruktor selaman, bersama seorang lagi instruktor telah membawa lima penyelam, termasuk mangsa, ke kedalaman 12 meter di perairan Pulau Mabul sekitar jam 10.50 pagi.
“Pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, aktiviti selaman selesai dan semua penyelam, termasuk mangsa, telah naik ke permukaan dan menyerahkan peralatan selaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata selepas menyerahkan peralatan selaman, mangsa masih dilihat berenang di permukaan air berhampiran bot.
“Bagaimanapun, apabila semua penyelam sudah menaiki bot, pengadu mendapati mangsa hilang dan selepas memeriksa kawasan sekitar, dia menemukan mangsa terapung.
“Penyelam lain membantu mengangkat mangsa ke dalam bot dan memberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum dibawa ke Hospital Semporna.
“Setibanya di hospital, pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya sambil menambah bahawa kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.