Advertisement

Perlumbaan Ketahanan 8, 12 dan 24 Jam Menanti Viper Niza Racing Dalam Musim 2025 – Sabah News

KUALA LUMPUR: Perlumbaan ketahanan Motul 12 Hours of Sepang hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Sepang akan menjadi permulaan kepada salah satu musim paling mencabar bagi pasukan Viper Niza Racing dari Malaysia.

Pasukan itu bakal menghadapi tujuh pusingan perlumbaan dalam musim 2025.

Berbekalkan jentera Mercedes-AMG GT3, Ketua Pasukan merangkap pemandu, Douglas Khoo, akan menerajui pasukan tiga pemandu yang turut disertai oleh Dominic Ang dan Melvin Moh.

Setakat ini, pasukan telah mengesahkan penyertaan dalam dua perlumbaan ketahanan di Asia, manakala lima lagi di Eropah.

Motul 12 Hours of Sepang yang berlangsung pada 14-15 Mac menjadi pembuka tirai penting bagi Viper Niza Racing bukan sahaja bagi pemandu tetapi juga jurutera perlumbaan serta mekanik.

Momentum yang baik sangat diperlukan kerana hanya seminggu selepas itu, dari 21-23 Mac, pasukan akan berlepas sejauh 9,785km ke Itali untuk menyertai 12 Hours of Mugello.

Dengan jadual perlumbaan yang hampir berturut-turut sepanjang tahun, pasukan itu akan bersiap sedia untuk 12 Hours of Spa Francorchamps di Belgium dari 18-20 April, diikuti oleh 12 Hours of Misano di Itali dari 23-24 Mei.

Selepas rehat selama sebulan, mereka akan kembali bersaing dalam 12 Hours of Paul Ricard di Perancis dari 3-5 Julai.

Jelajah Eropah Viper Niza Racing akan berakhir dengan 24 Hours of Barcelona di Sepanyol dari 26-28 September sebelum kembali ke Asia untuk Shanghai 8 Hours pada Oktober.

“Sepanjang sejarah perlumbaan pasukan, kami lebih berjaya dalam perlumbaan ketahanan berbanding perlumbaan pecut.

“Inilah kekuatan sebenar Viper Niza Racing, dan kami mahu terus mengembangkan potensi ini,” kata Khoo, yang juga juara dua kali TSS The Super Series Supercar GT3 kategori amatur di Thailand pada 2024.

“Sebagai contoh, kecergasan adalah elemen penting, begitu juga keupayaan jurutera perlumbaan dalam membuat keputusan yang tepat pada masa yang tepat.

“Pasukan juga perlu berfungsi seperti mesin yang sangat lancar – semua ini adalah faktor yang menentukan kejayaan di garisan penamat,” tambahnya.

Dalam Motul 12 Hours of Sepang 2024, pasukan menamatkan perlumbaan di tempat keenam keseluruhan dan memenangi kategori mereka.

Pada 2023, mereka berada di tempat ke-10 keseluruhan.

Kejayaan lain termasuk Shanghai 8 Hours tahun lalu dengan kedudukan kelima keseluruhan dan tempat ketiga dalam kelas ProAm.

Viper Niza Racing juga pernah muncul juara dalam perlumbaan 24 jam TCR SPA500 di Spa Francorchamps pada 2019 menggunakan jentera Seat Leon Cupra dan menamatkan perlumbaan di tempat keenam dalam kelas TCR pada Hankook 24 Hours of Barcelona 2022.

“Sepang adalah perlumbaan yang sangat penting kerana ini adalah perlumbaan ‘home’ bagi kami sebagai pasukan Malaysia, dan juga bagi penaja kami, Motul.

“Saya sendiri pernah menaiki podium di sini beberapa kali dalam kategori GT dan kereta touring.

“Dominic (Ang) juga pernah menjadi juara keseluruhan sebanyak dua kali… Tetapi ia bukan perlumbaan yang mudah dengan kehadiran ramai pasukan serta pemandu kompetitif, keadaan cuaca yang tidak menentu, dan kemungkinan sebarang perkara boleh berlaku,” Khoo berkata.

“Kejayaan kami juga banyak dipengaruhi oleh kerjasama erat bersama Motul yang kini sudah hampir 10 tahun.

“Kami terus bergantung kepada produk Motul untuk memastikan semua jentera kami berfungsi dengan lancar.

“Kami juga berharap kerjasama baharu dengan Endless, Momentum Autoparts, dan IWC musim ini akan kekal lama seperti perkongsian kami dengan Motul,” katanya.

Pada musim 2025, Viper Niza Racing terus mendapat tajaan utama daripada Motul, serta sokongan daripada Endless & Momentum Autoparts.

IWC pula menjadi Penaja Rasmi Jam Tangan mereka, manakala Jen Orchard Gateway Hotel di Singapura turut menjadi rakan penaja.