KOTA KINABALU: Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya, menafikan dakwaan menerima RM350,000 daripada seorang individu seperti yang didakwa dalam video tular.
Memetik Sinar Harian, beliau menjelaskan bahawa wang yang diterimanya hanyalah pinjaman RM50,000 daripada individu tersebut, dan dakwaan jumlah lebih besar itu tidak diketahuinya.
Menurut Kadzim, beliau turut diperangkap seperti lapan ADUN lain yang dikaitkan dalam skandal rasuah menerusi rakaman video tanpa pengetahuannya.
Video berdurasi 29 saat yang dimuat naik sebuah portal itu memaparkan perbualan antara Kadzim dan seorang ahli perniagaan yang kecewa kerana gagal mendapatkan lesen melombong di Sabah.
Individu itu juga menyebut mengenai RM350,000, dipercayai dikaitkan dengan isu skandal rasuah lesen mineral.
Kadzim adalah individu kesembilan yang dikaitkan dengan skandal tersebut selepas lapan ADUN Sabah sebelum ini.