Advertisement

Jumlah Mangsa Banjir Menurun Kepada 2,655 Libatkan Tiga Daerah – Sabah News

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus menurun kepada 2,655 orang setakat jam 8 pagi hari ini daripada 3,114 mangsa semalam.

Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan pagi ini memaklumkan jumlah mangsa banjir itu melibatkan daerah Beaufort, Membakut dan Tenom. 

Katanya kesemua mangsa banjir tersebut yang ditempatkan di 18 Pusat Pemindahan turut melibatkan 916 Ketua Isi Rumah (KIR) di 36 kampung terjejas.

Daerah Beaufort masih mencatatkan jumlah mangsa yang tertinggi, iaitu 1,719 mangsa, diikuti daerah Tenom (514 mangsa) dan Membakut (422 mangsa).

“Bagi daerah Beaufort sebanyak enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih aktif termasuk Dewan DSP DUN Banir; Dewan Bisaya; Dewan Residansi Prima; Dewan Kukut, Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Beaufort; dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Beaufort 3 serta satu Pusat Pemindahan Kekal (PPK), iaitu PPK Dewan Selagon. 

“Manakala bagi daerah Membakut sebanyak empat PPS masih aktif termasuk Dewan Kesenian Islam Membakut; Dewan Seri Bongawan; PPS AJKC Peiyin; dan PPS SMK St Patrick.

“Bagi daerah Tenom pula, sebanyak tujuh PPS masih aktif termasuk Dewan Batu-Batu; Dewan Sri Antanom; Dewan Jinuin Jimin; Dewan SJKC Chung Hwa; Dewan SMK Entabuan; Dewan Melalap; dan Uloi Makakagas,” katanya di sini, hari ini.