KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak tiga buah rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Skim Penempatan Telipok pada pagi Isnin, menyebabkan 24 mangsa daripada tiga keluarga kehilangan tempat tinggal.
Menurut Pusat Kawalan Daerah (DCC), kejadian berlaku sekitar jam 11.41 pagi dan maklumat mengenainya diterima melalui panggilan kecemasan MERS 999 yang dibuat oleh orang awam.
Bertindak atas laporan tersebut, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) segera mengerahkan pasukan ke lokasi.
Dua jentera bomba bersama seorang pegawai dan 27 anggota tiba di lokasi sekitar jam 12.10 tengah hari dan berjaya mengawal kebakaran tanpa sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Bagaimanapun, kebakaran itu mengakibatkan tiga buah rumah musnah sepenuhnya. Kesemua mangsa kini ditempatkan sementara di rumah saudara-mara berdekatan.
Punca kebakaran masih dalam siasatan, dan maklumat awal tidak menunjukkan sebarang unsur khianat. Jumlah kerugian masih dalam penilaian.
Operasi pemadaman turut mendapat bantuan dua anggota Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), tiga anggota polis dari Balai Polis Manggatal, serta dua anggota Unit MPV bagi memastikan kelancaran operasi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan mengutamakan langkah pencegahan kebakaran di kediaman masing-masing.
“Kami menyeru semua penduduk supaya memastikan rumah mereka selamat daripada risiko kebakaran, seperti tidak membiarkan peralatan elektrik terpasang tanpa pengawasan dan mengelakkan penggunaan pendawaian yang tidak selamat,” katanya dalam kenyataan semalam.