Advertisement

Latheefa Koya Bertukar Fungsi Kepada Pembela Taikun (Albert Tei)? – Soal Fairuz – Sabah News

KOTA KINABALU: Tindakan Latheefa Koya dalam mempertahankan Dato Albert Tei menimbulkan tanda tanya besar, kata Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan.

“Apa sebenarnya kepentingan mereka? Apakah Latheefa Koya kini sudah bertukar fungsi dari pejuang hak asasi manusia kepada pembela taikun yang pernah didakwa terlibat dalam eksploitasi pekerja asing? Atau ada sesuatu yang lebih besar yang sedang diselindungkan di sebalik langkah ini?,” soalnya.

“Albert Tei ini bukan calang-calang orang. Bukan sekadar seorang ahli perniagaan biasa yang dizalimi sistem seperti yang cuba digambarkan oleh Latheefa Koya.

“Namanya sudah lama terpalit dengan skandal eksploitasi buruh, pemerdagangan manusia, dan ugutan terhadap wartawan,” tegasnya lagi.

ADUN Pintasan itu berkata, laporan penyiasatan dari Tempo dan Malaysiakini pada 2017 membongkar bagaimana beliau memiliki lapan agensi pengambilan pekerja asing secara haram.

“Ribuan rakyat Indonesia menjadi mangsa, diperdaya dengan janji gaji lumayan tetapi akhirnya diperlakukan seperti hamba. Mereka dikurung, dipaksa bekerja dalam keadaan yang tidak berperikemanusiaan, dan digaji jauh lebih rendah daripada yang dijanjikan. Keadaan begitu buruk sehingga kerajaan Indonesia sendiri terpaksa campur tangan untuk membawa pulang rakyatnya.

“Yang lebih menarik, bukan hanya buruh asing yang menjadi mangsa. Tei juga mempunyai rekod mengancam wartawan yang cuba membongkar skandalnya.

“Wartawan Tempo yang menyiasat aktivitinya di Malaysia pernah diugut dan dipaksa menandatangani perjanjian untuk tidak menyiarkan laporan mereka. Mujurlah mereka berani menolak tekanan itu dan akhirnya berjaya menerbitkan laporan penuh yang menggemparkan.

“Tetapi yang lebih mengejutkan ialah bagaimana seorang individu dengan rekod sebegini boleh terlepas daripada hukuman? Pada 1 Julai 2019, Mahkamah Sesyen Semenyih memberikan Tei pelepasan tanpa pembebasan (DNAA). Nota editor Malaysiakini pada 23 Ogos 2023 mengesahkan perkara ini, tetapi tidak ada penjelasan kukuh bagaimana seorang yang dikaitkan dengan eksploitasi manusia boleh diberikan DNAA.

“Persoalannya, adakah DNAA ini berlaku atas faktor undang-undang semata-mata, atau ada ‘kuasa luar biasa’ yang memastikan Tei tidak didakwa?

“Jika Latheefa Koya benar-benar mahu mencari keadilan, mengapa dia tidak mendesak siasatan terhadap bagaimana Tei boleh memperoleh DNAA? Kenapa Latheefa sibuk mencuci imej seorang individu yang sudah terbukti pernah menganiaya pekerja asing? Bukankah lebih logik untuk menyelidiki bagaimana seorang yang didakwa terlibat dalam pemerdagangan manusia boleh bebas tanpa sebarang hukuman?,” soalnya.

Di Sabah katanya, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah mengambil pendirian tegas dengan menolak 21 lesen perlombongan yang dikaitkan dengan kartel Tei.

“Ini bukan keputusan kecil, tetapi satu langkah berani untuk memastikan kepentingan rakyat Sabah didahulukan. Kami tidak akan tunduk kepada individu yang mahu menggunakan kekayaan dan pengaruh mereka untuk menekan negeri ini.

“Kami juga tidak akan berdiam diri melihat bagaimana ada pihak luar yang cuba mempertahankan individu yang rekodnya sudah tercalar. Sabah bukan tempat untuk perniagaan kotor dan kartel tamak yang mahu memonopoli sumber negeri. Jika ada yang cuba menjadikan Sabah sebagai tempat perlindungan untuk mereka yang mempunyai sejarah hitam, mereka silap besar.

“Oleh itu, kepada Latheefa Koya, jika benar anda pejuang hak asasi manusia, carilah keadilan untuk mangsa, bukan untuk individu yang pernah menindas mereka. Rakyat Sabah tidak akan lupa, dan rakyat Malaysia juga cukup matang untuk menilai siapa sebenarnya yang memperjuangkan keadilan dan siapa yang hanya sekadar bermain politik.

“Latheefa Koya perlu faham, Sabah bukan tempat untuk orang luar datang membuat kacau dan mengganggu kestabilan negeri ini. Jangan cuba menegakkan benang yang basah dengan mempertahankan individu yang pernah dikaitkan dengan pemerdagangan dan penindasan manusia. Ini bukan perjuangan hak asasi, ini cubaan mencetuskan ketidakstabilan di Sabah agar agenda pihak luar, termasuk kartel ini, dapat terus berjalan. Rakyat Sabah tidak akan berdiam diri, dan kami tidak akan membiarkan negeri ini diambil kesempatan oleh pihak luar. Jika ada yang cuba mempermainkan Sabah, rakyat negeri ini akan bangkit mempertahankannya,” jelasnya.