Advertisement

Lelaki Maut Kenderaan Pacuan Empat Roda Terjunam Gaung di Jalan Kalabakan Tawau – Sabah News

TAWAU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandunya terbabas sendiri dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 30 meter di Batu 38, Jalan Kalabakan Tawau, pada pagi Rabu.

Menurut laporan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, panggilan kecemasan mengenai kejadian diterima pada jam 9.10 pagi.

Sepasukan lima penyelamat diketuai PBKII KUP Shameer Abd Rahman Hamid tiba di lokasi kejadian pada jam 12.00 tengah hari, kira-kira 165 kilometer dari balai.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati mangsa berada di dalam kenderaan yang terjatuh ke gaung. Mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Operasi menyelamat melibatkan penggunaan jungkin stretcher bagi mengangkat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut,” kata seorang pegawai jurucakap.

Turut hadir di lokasi kejadian ialah tiga anggota PDRM dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Setelah memastikan tiada ancaman bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari.