KIMANIS: Jelajah Iftar 2025 anjuran Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah diteruskan ke destinasi ke-7 pada petang Rabu di Kimanis, meskipun kawasan berkenaan baru-baru ini dilanda banjir.
Prihatin dengan keadaan semasa, Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau, mengambil keputusan untuk menyelaraskan semula atur cara Jelajah Iftar tersebut.
Program berbuka puasa yang dirancang sebelum ini telah diubah menjadi sesi penyerahan sumbangan dan iftar bersama mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Kesenian Membakut.
Juadah berbuka puasa diagihkan secara berbungkus kepada mangsa banjir. Selain itu, sebanyak 1,000 keping roti bun, 500 paket roti kok, dan 50 karton lampin pakai buang turut disumbangkan untuk keperluan harian mereka.
Seramai kira-kira 200 mangsa banjir dari Kampung Brunei, Kampung Bambangan dan lain-lain, yang masih berada di pusat pemindahan sementara menerima bantuan berkenaan.
Datuk Dexter menzahirkan rasa simpati kepada semua yang terjejas dengan bencana banjir dan menegaskan komitmen KTC untuk terus menyantuni komuniti setempat melalui program tanggungjawab sosial korporat, terutamanya pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Beliau berkata, Ramadan adalah masa untuk berkongsi rezeki dan menyemai keprihatinan. Beliau berharap sedikit sumbangan ini mampu meringankan beban mereka yang terjejas.
Datuk Dexter juga membawa anak sulungnya, Andrew, untuk merasai pengalaman tersebut.
Turut hadir termasuk Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin Tang, PPM Membakut Surayah Ibrahim, pemimpin tempatan, wakil KTC dan UPPM.
KTC adalah syarikat tempatan yang beribu pejabat di Kota Kinabalu, dan mempunyai cawangan di Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia, Brunei dan Indonesia.
Jelajah Iftar 2025 akan diteruskan ke beberapa lokasi banjir lain di Sabah dengan pendekatan serupa, bergantung kepada keadaan setempat dan keperluan masyarakat.