BEAUFORT: Jelajah Iftar 2025 anjuran Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah diteruskan semalam ke destinasi ke-8 di daerah Beaufort, melibatkan masyarakat dari DUN Klias dan Kuala Penyu.
Majlis berbuka puasa ini diadakan di Masjid Raudhatul Mukminin Kariah, Kampung Kerukan, Kuala Penyu, yang dihadiri kira-kira 500 orang. Sebanyak 20 orang turut menerima sumbangan wang saku raya.
Turut hadir termasuk Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap ADUN Klias, Datuk Isnin Aliasnih; Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah merangkap ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury; Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau; dan Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin.
Datuk Isnin mengucapkan terima kasih kepada penganjur program ini dan berharap hubungan silaturahim yang terjalin dapat dikekalkan, terutamanya dalam semangat perayaan yang memupuk keharmonian antara pelbagai kaum.
Beliau turut memberi maklumat bahawa tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka akibat banjir, dengan hanya dua kampung yang tidak terjejas. Kini, tiga PPS masih beroperasi di kawasan Klias, dan beliau menekankan pentingnya usaha membersihkan rumah pasca-banjir.
Datuk Limus juga merakamkan penghargaan kepada UPPM dan KTC atas sokongan mereka dalam penganjuran program berbuka puasa ini, yang turut dihadiri oleh pelbagai kaum. Beliau berkata, Sabah adalah contoh negeri yang makmur dan berharap program ini dapat diteruskan pada tahun depan.
Mengenai banjir, beliau mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah agar sentiasa berjaga-jaga dan menjaga keselamatan mereka.
Datuk Dexter pula melahirkan rasa gembira dengan suasana meriah program ini, yang menunjukkan bahawa wakil rakyat di kawasan ini sangat mengambil berat terhadap penduduk tempatan.
Beliau menekankan bahawa sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat terhadap perniagaannya amat bermakna. Oleh itu, adalah penting untuk berkongsi rezeki bersama-sama.
Sepanjang tiga tahun lalu, KTC telah melabur sebanyak RM50 juta untuk memiliki 200 kenderaan yang digunakan di bandar utama seperti Kuching, Sibu, Bintulu, Miri, Brunei, Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, dan Lahad Datu. Pelaburan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi logistik, malah telah mewujudkan 400 peluang pekerjaan baharu di KTC, membuktikan komitmen syarikat dalam memperkasa tenaga kerja tempatan.