KOTA BELUD: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tempasuk menghormati hak mana-mana individu yang ingin menawarkan diri sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk dalam Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).
Namun, menurut Ketua Penerangan PGRS Tempasuk, Dzulirwan Rashkin, Tempasuk bukan gelanggang eksperimen politik, tetapi sebuah kawasan yang memerlukan kesinambungan kepimpinan berwibawa demi kesejahteraan rakyat.
“Tempasuk bukan gelanggang eksperimen politik, tetapi sebuah kawasan yang memerlukan kesinambungan kepimpinan berwibawa demi kesejahteraan rakyat.
“Berbanding sekadar “merisik” peluang politik, PGRS di bawah Gagasan Rakyat Sabah (GRS) komited untuk terus bekerja demi kepentingan rakyat.
“Keutamaan kami adalah untuk memastikan kemajuan yang telah dicapai tidak terganggu oleh eksperimen politik yang tidak menentu”, ujar Dzulirwan dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas mengenai pengumuman Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini menamakan semula Datuk Mohd Arsad Bistari sebagai calon di DUN Tempasuk, Dzulirwan berkata ia dibuat berdasarkan rekod perkhidmatan baik beliau sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.
“Pengumuman Datuk Seri Hajiji Noor menamakan semula Arsad sebagai calon adalah berdasarkan rekod perkhidmatan baik beliau sebagai wakil rakyat Tempasuk.
“Politik bukan sekadar merisik-risik peluang, membaca kajian atau menilai sokongan.
“Politik adalah tentang turun padang, memahami denyut nadi rakyat, dan membuktikan komitmen tanpa syarat, sesuatu yang telah dilakukan oleh Datuk Arsad dan GRS selama ini”, tambah Dzulirwan.