MANILA: Sebuah pesawat Malaysia Airlines yang dalam perjalanan dari Manila ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik selepas disyaki mengalami kebakaran enjin.
Menurut laporan, penerbangan MH705 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA) tetapi terpaksa kembali ke Manila selepas anak kapal mengesan masalah teknikal yang dipercayai berkaitan enjin pesawat.
Pesawat itu mendarat dengan selamat di Manila, dan tiada kecederaan dilaporkan.
Pihak Malaysia Airlines masih menyiasat insiden ini dan memberi jaminan bahawa keselamatan penumpang serta anak kapal adalah keutamaan mereka.
Platform berita penerbangan Filipina, Aviation Updates Philippines, berkongsi sebuah video yang menunjukkan api dan asap keluar dari enjin kiri pesawat, dengan kejadian itu dipercayai berpunca daripada perlanggaran dengan burung.