Advertisement

Polis Tahan Pencabut Batu Nisan Kuburan Kampung Sungai Imam Tawau  – Sabah News

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun selepas dipercayai mencabut beberapa batu nisan di tanah perkuburan Kampung Sungai Imam Bombalai Laut.

Kejadian yang tular di media sosial itu mencetuskan kemarahan penduduk setempat dan menarik perhatian pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata suspek ditahan sekitar jam 2 petang di sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian oleh sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan keresahan awam.

“Kami sedang menyiasat motif kejadian ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang terlibat,” katanya.

Menurutnya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat yang menyebabkan kerosakan harta benda.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.