Advertisement

Sabah Teroka Peluang Pelaburan dan Logistik dengan J&T Express – Sabah News

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Phoong Jin Zhe, mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat J&T Express (Malaysia) Sdn Bhd bagi meneroka peluang pelaburan dan memperkukuh rangkaian logistik di Sabah.

Lawatan itu menegaskan komitmen kementerian dalam membentuk kerjasama strategik bagi merangsang pertumbuhan industri dan memperbaiki kecekapan logistik, terutama dalam menyokong usahawan tempatan serta memperluaskan keupayaan eksport negeri.

Phoong menekankan kepentingan infrastruktur logistik yang mantap untuk meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Jalinan kerjasama dengan J&T Express ini adalah langkah penting dalam memperkukuh logistik dan menarik pelaburan yang akan memberi manfaat kepada industri Sabah,” katanya.

Perbincangan turut menyentuh potensi pelaburan J&T Express dalam memperluaskan operasi mereka di Sabah, termasuk meningkatkan rangkaian penghantaran dan kecekapan rantaian bekalan.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Naib Presiden J&T Express, Vincent Low, serta Pengarah Operasi, Andy, yang berkongsi visi syarikat untuk memperkasa perkhidmatan logistik di Sabah.