Advertisement

LKM Perkukuh Inovasi dan Kebajikan, MICF 2025 Tarik Pelaburan Global – Sabah News

KOTA KINABALU: Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Matbali Musah, menekankan kepentingan inovasi dan tanggungjawab sosial dalam memajukan industri koko negara.

Bercakap pada Majlis Perhimpunan Bulanan LKM dan Iftar 2025 di sini, Sabtu lalu, beliau menegaskan bahawa kerjasama dan kepimpinan kukuh adalah kunci pertumbuhan mampan sektor koko.

“Saya yakin dengan semangat inovatif serta kerjasama antara ahli lembaga, pengurusan, dan kakitangan, LKM akan terus maju dan mencapai kejayaan lebih besar,” katanya.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Ahli Lembaga baharu bagi penggal 2025-2027 serta menghargai sumbangan ahli terdahulu.

Dalam usaha kebajikan, LKM menerima RM41,021 dalam Wakalah Zakat Agihan Sendiri 2024, yang disalurkan kepada penerima seperti Surau Kampung Simpangan di Ranau, bantuan perubatan kakitangan, serta elaun imam dan jawatankuasa Masjid Al-Hidayah PPPK Madai.

Untuk 2025, sebahagian dana zakat akan diberikan kepada golongan asnaf di Sipitang dan anak yatim di Rumah Amal Kasih, Kota Kinabalu.

Matbali juga menekankan kepentingan Malaysia International Cocoa Fair (MICF) 2025 sebagai platform menarik pelaburan global dan memacu inovasi industri koko. Acara ini berlangsung pada 25-27 Mei di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah dengan penyertaan lebih 30 negara.

Beliau turut menghargai sokongan kerajaan negeri dan Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam menjayakan program ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr. Ramle Kasin, yang menegaskan komitmen LKM dalam memperkukuh industri koko Malaysia. LKM juga menyerahkan Duit Raya kepada anak yatim sebelum berbuka puasa dan menunaikan solat berjemaah.