PENAMPANG: Seorang lelaki warga emas, Leong Kee, 76, ditemui rebah dan tidak sedarkan diri di tepi jalan berhampiran Beverly Hills Plaza, Bundusan, Penampang pada malam Ahad semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton, mengesahkan bahawa mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan sebelum mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
“Hasil siasatan awal tidak menemui unsur jenayah, namun kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan siasatan masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.
Alamat terakhir mangsa berbangsa Cina terbabit ialah di Jalan Durian Mentangau, Kg Baru Penyiram, Terengganu.
Pihak polis kini sedang mengesan waris mangsa dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat untuk tampil ke balai polis terdekat atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Amir Fitri Ab Rahman di talian 016-4492215.