KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Jaffari Waliam, menegaskan bahawa tuduhan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar, yang mendakwa Kerajaan GRS gagal menyelesaikan masalah asas rakyat adalah tidak berasas dan tidak berlandaskan fakta.
Menurut Jaffari, Bung sepatutnya bertanya kepada dirinya sendiri mengenai apa yang telah beliau lakukan ketika memegang jawatan Menteri Kerja Raya Sabah, sebelum berlakunya Langkah Kinabalu.
“Semasa beliau mempunyai tanggungjawab secara langsung terhadap keperluan asas rakyat, apakah tindakan yang telah beliau ambil?
“Sedangkan masalah jalan rosak yang beliau bangkitkan ini bukan isu baru, dan ketika beliau menjadi menteri, ia juga tidak dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan GRS-PH Plus di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, bukanlah kerajaan yang gagal seperti yang sering didakwa oleh pihak pembangkang.
“Dalam tempoh hampir lima tahun, Ketua Menteri bersama barisan kabinet negeri telah melaksanakan pelbagai program dan dasar melalui hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk menyelesaikan masalah negeri ini,” jelasnya.
Jaffari turut menjelaskan bahawa walaupun terdapat kekangan, kerajaan negeri terus komited membaiki jalan-jalan yang rosak, termasuk jalan-jalan utama di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Berhubung masalah bekalan air dan elektrik, beliau berkata kerajaan telah melaksanakan pelan jangka panjang seperti projek empangan Babagon, Ulu Padas, tenaga solar pertama di Sabah dan penambahan kapasiti loji rawatan air Kogopon.
“Kesemua projek ini akan dapat menyelesaikan masalah air dan elektrik di Sabah,” tegasnya.
Jaffari juga menegaskan bahawa ekonomi negeri terus berkembang di bawah pentadbiran Hajiji, dengan pendapatan negeri meningkat setiap tahun, termasuk belanjawan tertinggi dalam sejarah Sabah sebanyak RM6.421 bilion pada 2025.
Mengenai penghijrahan rakyat Sabah ke Semenanjung atau luar negara, beliau menekankan bahawa fenomena ini telah berlaku sejak zaman pemerintahan UMNO-BN lagi. Namun, kerajaan GRS-PH Plus telah berjaya menarik pelaburan luar dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.
Dalam menangani kos sara hidup, kerajaan turut memperkenalkan bantuan Sentuhan Kasih Rakyat (SENTOSA) sebanyak RM300 sebulan mulai Januari 2025 hingga Disember 2025 untuk rakyat termiskin.
Selain itu, kerajaan juga menyediakan 3,000 unit Rumah SMJ di 73 DUN bernilai RM250 juta dan bantuan ‘one-off’ RM5,000 kepada peniaga gerai kecil.
“Apakah Bung Moktar ingin menafikan fakta ini?” soal Jaffari.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan GRS-PH Plus bukan kerajaan yang gagal, sebaliknya terus berusaha menyelesaikan masalah yang telah lama wujud di Sabah.