RANAU, SABAH – Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), Datuk Dexter Lau, penuh dengan emosi ketika menyampaikan sumbangan makanan kepada Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kampung Silad, Ranau, petang tadi.
Datuk Dexter berharap agar kanak-kanak ini dapat mengecapi masa depan yang cerah dan berkembang menjadi individu yang baik, tabah, serta kuat, diharapkan mereka akan kembali menyumbang kepada komuniti pada masa depan.

Beliau diiringi oleh Gerakan Wanita PGRS Paginatan yang diketuai oleh YB Datuk Amisah Yassin, membeli keperluan makanan harian di pasar raya Ranau, lalu menyerahkan sumbangan tajaan KTC ke rumah anak yatim dan asnaf.
Sebelum itu, Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah, telah menganjurkan Program Shopping Raya sempena Jelajah Iftar 2025, dengan Ranau menjadi destinasi ke-11 program tersebut pada petang tadi.
Seramai 50 kanak-kanak dari Ranau dibawa membeli pakaian raya di pekan Ranau untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Setiap kanak-kanak menerima RM200 bagi membeli baju dan kasut raya.
ADUN Dilantik YB Datuk Amisah Yassin, mengucapkan terima kasih kepada UPPM dan KTC atas kemurahan hati mereka dalam menyediakan peluang kepada kanak-kanak untuk membeli pakaian raya, serta membantu golongan yang memerlukan. Beliau berharap inisiatif ini dapat memberikan kegembiraan kepada kanak-kanak dalam meraikan Hari Raya.
Tambah Datuk Amisah, program kebajikan seperti ini amat bermanfaat dan diharapkan dapat diteruskan pada tahun depan.
Turut hadir termasuk Pengarah UPPM Negeri Sabah, Datuk Awang Kadin; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda, Datuk Aziah Atoh, pemimpin-pemimpin tempatan, wakil KTC serta pegawai UPPM.