KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Mitsubishi Triton di Jalan Lintas berhampiran Iramanis, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim bin Muda, berkata kejadian berlaku sekitar jam 6.55 petang apabila mangsa secara tiba-tiba melintas jalan dari arah kiri ke kanan.
“Pemandu Mitsubishi Triton, seorang lelaki dalam lingkungan 20-an, dalam perjalanan dari Kolombong menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa melintas secara mengejut menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggarnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Impak pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak ke hadapan sebelum jatuh di atas jalan raya.
Pegawai perubatan yang kemudian tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
“Pemandu kenderaan tersebut mengalami sakit di bahagian dada dan telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 2 untuk mendapatkan rawatan,” tambah Kasim.
Siasatan awal mendapati kecuaian berpunca daripada tindakan mangsa yang melintas tanpa berhati-hati sehingga menyebabkan kemalangan.
Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati di jalan raya dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.