PENAMPANG: Polis daerah ini sedang menyiasat insiden pemanduan berbahaya di Jalan Penampang-Tambunan selepas video berdurasi 27 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton, berkata kejadian berlaku pada Ahad sekitar jam 1.41 petang.
Ianya membabitkan tiga kenderaan yang memotong sebuah lori di selekoh garisan berkembar hingga menyebabkan kenderaan lain dari arah bertentangan terpaksa berhenti untuk mengelak kemalangan.
“Ketiga-tiga pemandu telah berjaya dikesan, dan kenderaan yang digunakan ketika kejadian telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000 jika disabit kesalahan.
Polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Amrin Mohamad Arif di talian 017-6638278.
Sammy turut menasihatkan orang awam agar sentiasa berhati-hati di jalan raya dan mematuhi undang-undang lalu lintas bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.