Advertisement

Sabah Catat Kehadiran Pelancong 3.14 Juta Tahun Lalu, Lebih Dari Sasaran – Christina – Sabah News

KOTA KINABALU: Sektor pelancongan di negeri ini telah menunjukkan pemulihan dan pertumbuhan yang memberangsangkan pada tahun lalu apabila mencatatkan kehadiran pelancong melebihi sasaran awal iaitu seramai 3.14 juta orang.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata, kejayaan itu telah menjana kira-kira RM7.28 bilion dalam hasil pelancongan sekali gus memberi sumbangan penting kepada ekonomi negeri.

“Salah satu faktor utama kejayaan ini ialah komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan ketersambungan udara.

“Perkongsian strategik dengan syarikat penerbangan seperti AirAsia dan Royal Brunei Airlines telah membuka laluan baharu untuk perjalanan, meningkatkan ketibaan sama ada secara langsung mahupun transit.

“Melangkah ke hadapan, Sabah bermatlamat untuk menarik 3.5 juta pelancong pada tahun 2025, dengan AirAsia sahaja berjanji untuk membawa lima juta penumpang ke Sabah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sandakan, dan Tawau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ‘Networking’ bersama pemain industri pelancongan Sabah di sini semalam.

Hadir sama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy.

Christina berkata, strategi budaya, pengembaraan dan alam semula jadi menjadi intipati utama bagi menjadikan Sabah sebagai sebuah destinasi pelancongan yang penting.

Katanya, ia termasuklah memperkukuh pelancongan mampan, meningkatkan infrastruktur pelancongan, dan memperkasakan pelancongan berasaskan komuniti.

“Sokongan berterusan daripada kerajaan persekutuan tetap penting. Kami benar-benar berterima kasih atas pelbagai geran serta insentif yang telah memainkan peranan penting dalam mengekalkan vitaliti sektor ini,” katanya.

Antara geran yang terlibat termasuklah Geran Galakan Melancong (GAMELAN), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP), Geran Sektor Penerbangan dan Carter (GSPC), dan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK).

“Saya berasa sangat gembira dapat bersama-sama dengan anda semua di sesi ‘networking’ yang penting ini, yang berfungsi sebagai platform untuk kerjasama dan perbincangan strategik mengenai masa depan industri pelancongan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Christina berkata, pihaknya memberi penekanan penting terhadap kerjasama semua pihak untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi khususnya dalam persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

“Pelancongan Sabah bertekad untuk memupuk perkongsian yang kukuh, mendorong inovasi, dan memastikan negeri kita kekal sebagai destinasi utama di Malaysia dan seterusnya,” katanya.