Advertisement

Wanita Hilang Ketika Memancing di Kampung Saub Nabawan Ahad Lalu, Ditemui Selamat – Sabah News

NABAWAN: Seorang wanita yang dilaporkan hilang ketika memancing di sungai Saub Jalan Batu 38 Tongod pada Ahad lalu (16 Mac) ditemui selamat oleh orang kampung di jarak 3 kilometer mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan, Rudy Mekii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian orang hilang itu pada jam 2.25 petang kelmarin. 

Katannya, seramai enam anggota pasukan bomba dari BBP Nabawan telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 10 kilometer.

“Menurut pemanggil (suami mangsa), sebelum kejadian suami mangsa cuba mengejar tupai jauh dari lokasi tempat mereka memancing dan selepas 3 jam kemudian, suami mangsa balik semula ke lokasi memancing dan mendapati mangsa sudah hilang.

“Usaha mencari mangsa dijalankan oleh orang kampung namun gagal dijumpai.

“Pasukan bomba dalam perjalanan ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mangsa, 55 tahun seterusnya dijumpai pada jam 7.03 petang oleh orang kampung yang berada di 3 kilometer dari lokasi mangsa mula memancing.

“Mangsa dilaporkan dalam keadaan selamat dan seterusnya dibawa ke Klinik Nabawan menaiki Utiliti Vigo bomba untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut,” katanya lagi.

Operasi seterusnya ditamatkan pada jam 7.25 petang.