Advertisement

Wanita Dan Kanak-Kanak Cedera Dihempap Pokok Tumbang di Likas – Sabah News

KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak lelaki dan wanita dewasa cedera selepas sebuah pokok tumbang menghempap dua buah kenderaan di Jalan Tuaran, Likas, pagi tadi.

Insiden kira-kira jam 7.06 pagi itu disedari oleh seorang individu yang segera menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan.

Mengikut laporan Angkatan Pertahanan Awam Sabah, Pasukan Kecemasan dan Penyelamat (PKOD) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi dengan kekuatan dua pegawai dan sembilan anggota.

“Setibanya di lokasi pada jam 7.25 pagi, pasukan mendapati pokok sebesar tiga pemeluk telah menghempap dua kenderaan, menyebabkan dua individu mengalami kecederaan.

“Kanak-kanak lelaki itu mengalami kecederaan di dahi, manakala wanita dewasa mengalami luka di lutut sebelah kanan.

“Pasukan penyelamat segera memberikan rawatan awal sebelum membawa mereka ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk rawatan lanjut,” katanya.

Dalam operasi menyelamat, lima anggota menggunakan tiga unit gergaji rantai untuk memotong dan mengalihkan pokok, manakala anggota lain mengawal lalu lintas.

Pihak polis kemudian tiba di lokasi pada jam 7.40 pagi bagi membantu mengawal keadaan lalu lintas.

“Pokok tumbang berjaya dialihkan sepenuhnya pada jam 7.49 pagi, sebelum pasukan penyelamat beredar dari lokasi pada jam 8.29 pagi.

“Kejadian ini sekali lagi mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu yang boleh menyebabkan insiden seperti ini berlaku,” tambahnya.