PUTATAN: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dengan berbesar hati menaja program amal “Shopping Raya Gema Beliawanis” anjuran Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang berlangsung di Servay Hypermarket, Putatan, pada Rabu.
Seramai 50 orang kanak-kanak daripada golongan asnaf dan anak yatim dari kawasan Petagas, Tanjung Aru dan Tanjung Keramat dibawa membeli pakaian raya bernilai RM200 setiap seorang, sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau, turut hadir memberi sokongan kepada program ini.
Beliau melahirkan rasa gembira melihat semangat para Beliawanis yang ceria dan komited menjayakan aktiviti bermakna ini demi kesejahteraan komuniti setempat.
Turut hadir memberi sokongan ialah Ketua Pergerakan Beliawanis Pusat, Emmie Datuk Martin Idang; Naib Ketua Pergerakan Beliawanis Pusat, Noorazmahirah Noorzain, barisan Exco Beliawanis Pusat, wakil-wakil Beliawanis dari Petagas, Tanjung Aru dan Tanjung Keramat, serta wakil KTC.
KTC terus komited melaksanakan tanggungjawab sosial korporat, terutamanya yang melibatkan golongan kurang berkemampuan.