Advertisement

Program Jelajah Santunan Kasih Ramadan 2025 Bakal Kunjungi Tujuh Daerah Seluruh Sabah – Sabah News

MATUNGGONG: Program Jelajah Santunan Kasih Ramadan 2025 akan mengunjungi lebih kurang tujuh daerah yang akan dilaksana sehingga hujung bulan ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, program jelajah itu adalah bagi mengukuhkan lagi ukhuwah dan menyemarakkan syiar Islam di kawasan pedalaman.

“Pada program jelajah ini, kita berada di Masjid Daerah Pekan Matunggong yang menjadi lokasi pertama dalam Jelajah Santunan Kasih Ramadhan 2025 dimana antara lain kita menyantuni golongan asnaf yang menerima sumbangan bakul makanan.

“Dengan adanya program ini, sedikit sebanyak kita dapat bermesra mengukuhkan ukhuwah silatulrahim selain daripada kita mengerjakan ibadah puasa, sedikit sebanyak memberi satu pengukuhan ummah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program jelajah itu di sini, semalam.

Ruslan berkata, selain menyantuni golongan asnaf, program jelajah itu turut diisi dengan program berbuka puasa dan Qiamullail di masjid dan surau di lokasi terpilih.

Katanya, kehadiran ramai jemaah turut membuktikan semangat persaudaraan Islam yang terus subur dalam kalangan kita.

Selepas penyampaian sumbangan, majlis diteruskan dengan tazkirah, berbuka puasa bersama, solat Maghrib dan Isyak berjemaah, serta solat Tarawih.

“Suasana penuh keberkatan ini memberi ruang untuk kita bukan sahaja mengeratkan silaturahim tetapi juga memperkukuh semangat kebersamaan dalam menyambut Ramadhan.

“Jelajah ini tidak berhenti di sini. Insya-Allah, perjalanan akan diteruskan ke daerah-daerah lain, membawa mesej kasih sayang dan kepedulian kepada lebih ramai saudara se-Islam.

“Semoga usaha kecil ini memberi manfaat besar kepada mereka yang memerlukan,” katanya.