TAWAU: remaja lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung satu insiden pergaduhan yang berlaku di Kompleks Sukan Tawau, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam apabila mangsa bersama tiga rakannya yang lain berada di kompleks sukan tersebut sebelum didatangi oleh sekumpulan individu yang menunggang motosikal.
“Berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak dan akhirnya mencetuskan pergaduhan. Dalam kejadian itu, salah seorang rakan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas dipukul dengan menggunakan topi keledar oleh salah seorang suspek,” katanya.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah melakukan operasi mengesan suspek.
Hasil siasatan membawa kepada penahanan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di kawasan Taman Univilla, Tawau, kira-kira jam 1.00 tengah hari, Selasa lalu.
Ujarnya, dalam tangkapan tersebut, pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek dan giat mengesan individu lain yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Selain itu, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata atau alat berbahaya, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan.
Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh mencetuskan pergaduhan dan mengancam keselamatan awam.