KOTA KINABALU: Serahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang sesuai diadakan, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Justeru itu, Nizam berkata, serahkan kepada SPR untuk menentukan bila tarikh pilihan raya yang bersesuaian, supaya perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) tadi, supaya pengundi mempunyai masa dan sebagainya.
“Itu sebenarnya kita serahkan kepada SPR untuk membuat keputusan sama ada mereka ingin meletakkan tarikh pilihan raya itu awal, pertengahan ataupun di akhir, kerana SPR ada 60 hari untuk menentukan tarikh tersebut mengikut undang-undang.
“Jadi, pada saya, biarlah tugas ini kita serahkan kepada kebijaksanaan SPR untuk menentukan, Kita beri keyakinan penuh kepada SPR untuk membuat keputusan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Berbuka Puasa bersama media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.
Mengulas mengenai desakan BERSIH untuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal, Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, soal pembubaran itu adalah prerogatif kerajaan sedia ada.
“Soal bila bubar itu, itu adalah prerogatif kerajaan sedia ada, khususnya Ketua Menteri.
“Jadi, kita percaya dan yakin dengan budi bicara yang ada pada Ketua Menteri untuk membuat keputusan yang terbaik dan sesuai bila difikirkan perlu, maka dia akan membuat pembubaran, itu pun perlu perhatian daripada Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah sebagai yang mempunyai kuasa untuk memberi persetujuan.
“Tidak ada isu, selama ini tidak ada isu kenapa pula BERSIH mahu membangkitkan perkara ini jadi isu? Jadi, saya rasa ini saja orang bilang macam Macam mahu publisiti sebab selalunya, pilihan raya ini kita diberi cuti dan tarikh-tarikh ini pun memang yang membolehkan pengundi-pengundi mudah untuk keluar.
“60 hari itu cukup lama, cukup panjang, jadi, janganlah membuat satu isu hanya kerana mahu mempopularkan, NGO-NGO khususnya BERSIH ini yang menyatakan mereka ini betul-betul concern,” tegasnya.
Semalam, BERSIH dilaporkan menggesa Ketua Menteri mengumumkan secara rasmi tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah lebih awal.
Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam kenyataan berkata, ia bagi memastikan semua pihak terlibat terutama pengundi yang berada di luar Sabah dapat membuat persiapan dan merancang perjalanan pulang untuk menunaikan hak mereka memilih tampuk kepimpinan kerajaan negeri.