KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, menggesa agar pendaftaran digital pekerja asing di Sabah dibuat percuma bagi mengurangkan beban kos kepada industri perladangan, khususnya sektor sawit.
Beliau menyokong kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan, yang kecewa dengan caj tinggi dikenakan ke atas pendaftaran tersebut.
Menurut Chan, langkah ini penting untuk merekod kehadiran pekerja asing dan memastikan rantaian bekalan minyak sawit negara kekal sah serta berdaya saing di pasaran antarabangsa.
Chan juga membangkitkan kejatuhan 5.2 peritus pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) Sabah pada 2024 kepada 4.27 juta tan, berbanding 4.51 juta tan pada 2023, akibat hasil rendah tandan buah segar.
Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM100 juta untuk Skim Insentif Tanam Semula Pekebun Kecil 2.0 (TSPKS 2.0) bagi meningkatkan penanaman semula di Sabah.
Dalam perkembangan lain, beliau menggalakkan penyertaan dalam Malaysia International Cocoa Fair (MICF) 2025 pada 25-27 Mei di Sabah International Convention Centre (SICC), yang bertujuan mempromosikan koko Malaysia di peringkat global.