KOTA KINABALU: Sabah Agro-Industrial Precinct (SAIP) diberikan mandat oleh Kerajaan Negeri untuk memperkukuh perindustrian dan pembangunan hiliran dalam sektor agro.
Peranan ini kini diterajui oleh Pengerusi baharu SAIP, Datuk Phoong Jin Zhe, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah.
Menurut Phoong, kerajaan Sabah berhasrat menjadikan SAIP sebagai entiti komersial yang berdikari bagi memastikan kelangsungan ekonomi jangka panjang industri berasaskan agro di negeri ini.
“SAIP tidak boleh sekadar bergantung kepada kerajaan semata-mata. Kita mahu ia berkembang sebagai sebuah entiti yang mampan, berdikari, dan mampu menjadi peneraju dalam industri agro di Sabah,” katanya.
Sejak penubuhannya hampir dua dekad lalu, SAIP secara rasmi diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan pada tahun 2023.
Pelantikan Phoong mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kluster industri, mengoptimumkan sumber, dan membangunkan sektor agro-industri yang lebih berdaya saing.
Dengan sokongan Sabah Economic Development Corporation (SEDCO), SAIP kini akan memberi tumpuan kepada pembangunan agro-industri yang mampan.
Phoong menekankan kepentingan untuk menghentikan kebergantungan kepada eksport bahan mentah semata-mata dan sebaliknya membina industri yang menghasilkan produk nilai tambah berkualiti tinggi.
“Kita mahu Sabah dikenali bukan hanya sebagai pengeksport bahan mentah tetapi sebagai hab industri pemprosesan yang mampu menembusi pasaran antarabangsa seperti China, Singapura, dan Semenanjung Malaysia,” tegasnya.
Di bawah kepimpinan beliau, SAIP akan mengutamakan promosi pelaburan, perindustrian hiliran, serta peningkatan infrastruktur bagi memperkukuh industri berasaskan agro.
Beliau komited untuk bekerjasama dengan pemain industri, persatuan berkaitan, pelabur, dan pemegang taruh bagi memastikan kejayaan SAIP serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Phoong turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui SAIP dalam fasa baharu pembangunan ini.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi SEDCO, Datuk Rubin Balang, Pengurus Besar Kumpulan yang baru dilantik, Datuk James Wong, serta Pengurus Besar SAIP yang baharu, Annef Osyairi, atas komitmen dan sokongan mereka dalam usaha menjadikan Sabah sebagai pusat kecemerlangan agro-industri.