KOTA KINABALU: Seorang jurugambar Jabatan Penerangan Sabah berusia 50-an mengalami kecederaan parah selepas dirempuh oleh sebuah Toyota Hilux ketika menunggang motosikal di Bulatan Kopungit, berhampiran terowong Jalan Kopungit, pada jam 3.30 petang, Isnin (17 Mac).
Siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan bergerak dalam arah yang sama dari Kota Kinabalu menuju ke kawasan Kopungit/Kepayan Austral 88.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, pemandu Toyota Hilux, seorang wanita berusia 18 tahun, berada di lorong kiri, manakala penunggang motosikal berada di lorong kanan.
“Sebaik memasuki bulatan, pemandu Hilux tiba-tiba membelok ke kanan lalu melanggar bahagian kiri motosikal,” katanya.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terjatuh dan mengalami kecederaan pada pergelangan tangan serta dada. Mangsa telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk rawatan lanjut,” tambahnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan masih dijalankan bagi mengumpul bukti dan keterangan berkaitan insiden tersebut.
“Kami menggesa orang ramai supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan,” nasihat Kasim.