Advertisement

KERAJAAN NEGERI PERHEBAT PROGRAM BELA GOLONGAN MISKIN TEGAR – Sabah News

TUARAN: Kerajaan Negeri terus perhebatkan program membela golongan miskin tegar di Sabah, tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, antara inisiatif kerajaan ialah pemberian bantuan bulanan sebanyak RM300 seorang selama satu tahun, melibatkan seramai 100,000 orang penerima, yang bertujuan membantu mengurangkan bebanan hidup yang ditanggung oleh golongan berkenaan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga meneruskan program pemberian rumah kediaman kepada golongan miskin tegar, dengan sebanyak 3,000 buah Rumah Mesra SMJ akan dibina pada tahun ini.

“Program bantuan rumah kediaman ini, termasuk inisiatif memberikan pekerjaan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) golongan miskin tegar, yang telah bermula sejak dua tahun yang lalu”, katanya pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Tahun 2025 di Padang Istiadat Daerah Tuaran pada Sabtu.

Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim.

Hajiji berkata, bagi meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat, Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan subsidi tiket kapal terbang sebanyak RM600 kepada pelajar-pelajar Sabah yang sedang menuntut di Semenanjung, Sarawak dan Labuan yang ingin pulang ke kampung halaman pada musim perayaan.

Sementara pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negeri tetapi ingin pulang ke kampung masing-masing, mereka diperuntukkan bantuan sebanyak RM300 seorang.

Selain itu katanya, banyak lagi inisiatif lain termasuk peruntukan biasiswa oleh Kerajaan Negeri telah ditambah daripada RM50 juta kepada RM128 juta pada tahun ini.

Beliau berkata, pada tahun lalu sahaja Kerajaan Negeri telah membelanjakan sekitar RM470 juta untuk pembangunan modal insan dan pendidikan.

Sementara itu Hajiji berkata, semenjak menerajui kepimpinan negara, Anwar telah berjaya meletakkan kembali kedudukan Malaysia di persada dunia.

Katanya, PM sering diundang ke pelbagai majlis forum antarabangsa untuk menyampaikan pandangan negara kita bersabit isu-isu yang berkaitan kepentingan komuniti antarabangsa.

“Ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan. Selain itu, pertumbuhan ekonomi negara juga amat menggalakkan, para pelabur asing berduyun-duyun datang untuk membawa pelaburan yang bernilai ratusan bilion ringgit.

“Semua ini adalah indikator yang menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia berada pada landasan yang tepat di bawah kepimpinan Anwar”, katanya.

Beliau berkata, perkembangan yang amat menggalakkan ini diperkukuhkan lagi dengan pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, satu lagi indikator yang mencerminkan kepercayaan dan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap kebolehan dan kemampuan pimpinan negara.

Hajiji berkata, semangat toleransi yang tinggi dan perpaduan yang jitu kekal sebagai kunci kepada kesatuan dan kekuatan masyarakat kita untuk terus menikmati kehidupan dalam suasana harmoni, aman dan sejahtera.

Katanya, majlis berbuka puasa secara berkumpulan di setiap kawasan dan perkampungan di Sabah akan turut dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk bukan beragama Islam.

Menurutnya, perbezaan kaum, berlainan fahaman agama dan kepelbagaian budaya tidak mendatangkan masalah, semua ini adalah lambang keunikan dan kepelbagaian negeri Sabah.

Terdahulu Hajiji bersama Anwar melawat Jualan Rahmah di hadapan Dewan Seri Sulaman dan kemudiannya menghadiri Taklimat Pembangunan Negeri Sabah di Bilik Mesyuarat Utama, Pejabat Daerah Tuaran.