Advertisement

‘Slam X Exists-Our Journey’ Bawa Kembara, Nostalgia Di Mega Star Arena, 26 Julai Ini – Sabah News

KUALA LUMPUR: ‘Slam X Exists-Our Journey’ nama konsert yang dipilih oleh penganjur bersama SS Karya Venture dan Republic Mokhmah Records bukan sekadar penganjuran konsert biasa.

Sebaliknya seperti nama diberi,‘Slam X Exists-Our Journey’ adalah sebuah perjalanan panjang daripada dua buah group legenda tanah air ini dalam sepak terajang memperkenal muzik sekaligus membina reputasi sehingga berdekad lamanya.

Bakal dianjurkan di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 26 Julai 2025, ‘Slam X ExistsOur Journey’ adalah sebuah ‘penceritaan’ tentang perjuangan mereka.

Slam dan Exists sendiri mempunyai ‘pertalian’ sejak awal penubuhan — Slam dibentuk oleh salah seorang anggota Exists, Shah yang akhirnya menuai sukses bersama anggota yang lain termasuk Lili, Man, Zamani dan Eddie.

Sementara Exists lebih dua dekad bermuzik dengan beberapa anggota bersilih ganti termasuk vokalis ; daripada Mamat, Ezad, dan kini Ezad sebagai tulang belakang kumpulan yang berasal daripada Johor Bahru ini iaitu Ajai, Ujang, Along dan Musa.

“Judul Slam X Exists adalah sangat signifikan dengan penganjuran daripada Republic Mokhmah Records dan SS Karya Venture kerana apa yang kami ketengahkan menerusi konsert ini adalah perjalanan panjang Slam dan Exists dalam karier seni mereka.

“Slam dan Exists bukan sekadar kumpulan muzik tetapi menjadi jenama kukuh dalam industri hiburan Nusantara menerusi karya-karya mereka yang bermutu.

“Maka setelah perbincangan demi perbincangan dilakukan bersama Slam dan Exists kerana mereka tidak mahu memberi konsert yang sama tanpa konsep yang jelas, akhirnya kami mencapai kata putus bahawa ‘bercerita’ tentang perjalanan panjang mereka menerusi ‘Slam X Exists-Our Journey’,” ujar Shah Nizam Abdul Halim, pengasas SS Karya Venture.

Tentu sahaja apabila memilih tema ‘Slam X Exists-Our Journey’, selain konsep, hal yang dititik beratkan adalah seleksi lagu yang akan dipersembahkan.

Selain akan menyampaikan hit-hit mereka seperti Rindiani, Gerimis Mengundang, Mentari Muncul Lagi (Slam) atau Julia, Langkah Seiringan, Jesnita (Exists), kedua-dua kumpulan ini akan
menghiburkan peminat dengan pemilihan karya penuh nostalgia yang tidak akan mengecewakan.

Dan bayangkan juga bagaimana jika pemilik suara merdu dan gemersik Ezad serta Zamani berpadu di atas pentas dengan diiringi barisan pemuzik hebat tanah air, pasti mengujakan!

“Besar harapan kami ‘Slam X Exists-Our Journey’akan menjadi satu momen buat peminat melihat perjuangan kami, menikmati karya kami dan menghargai bukan hanya satu kumpulan atau seorang pemuzik tetapi juga sentiasa menyokong pemuzik dengan sihat.

“Sebab muzik bukan tentang perjuangan seorang tetapi melalui muzik dengan pelbagai latar belakang tetap bertujuan menyatukan kita semua,” ujar Shah Slam.

Untuk menikmati dan menghayati perjalanan ‘Slam X Exists-Our Journey’di Mega Star Arena pada 26 Julai 2025, dapatkan tiket anda segera.

Harga tiket bermula RM168 (PS 4 LANGKAH SEIRINGAN), RM268 (PS33 RINDIANI), RM368 (PS2 JULIA), RM388 (PS1 JESNITA), RM448 (VIP MARIA MARIANA), RM3000 (GRAND VIP KEMBALI TERJALIN) boleh diperoleh menerusi www.ilassoTicket.com/slamexists.

Sekadar informasi, tiket PS4 Langkah Seiringan telah habis dijual dalam masa 3 hari manakala tiket PS3 terjual dengan laju dan hampir sold out selama seminggu diumumkan penjualan tiket.