KENINGAU: Pemimpin masyarakat khususnya Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) memainkan peranan utama untuk membantu memperjelaskan semua inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan ke peringkat akar umbi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor turut meminta pemimpin UPPM untuk memberi kerjasama kepada semua wakil rakyat termasuklah pemimpin parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kawasan masing-masing.
“Sebagai mata dan telinga kerajaan, khidmat pemimpin masyarakat seperti pegawai UPPM dan pemaju mukim amat penting. Terus lipatgandakan usaha membantu wakil rakyat dan ketua-ketua bahagian komponen dalam GRS dan PH.
“Oleh itu amat penting untuk UPPM menjelaskan kepada rakyat apa yang telah dilaksanakan dan bantuan atau inisiatif yang diberikan kerajaan negeri dalam tempoh empat tahun.
“Saya menegaskan perkara ini kerana seperti mana yang kita sedia maklum bahawa tahun ini adalah tahun pilihan raya, justeru kita kena bersatu hati agar GRS diberi kepercayaan sekali lagi dalam pilihan raya ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama Kim Teck Cheong Consolidation Berhad kali kedua tahun 2025 di Kompleks Sukan Keningau, di Keningau pada Khamis.
Hajiji turut meminta kepada semua ahli parti komponen GRS termasuk Parti Gagasan Rakyat Sabah supaya memberi sokongan yang padu kepada pemimpin-pemimpin GRS terutama kepada mereka yang diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
“Saya tidak mahu ada yang sabotaj atau tidak memberi kerjasama. Jika saya dapat tahu ada ahli terutama dari GRS yang tidak memberi sokongan kepada calon-calon GRS, kita akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya.
“Saya mahu GRS terus kuat dan kita terus bersatu hati dan memantapkan perpaduan dalam kalangan parti komponen GRS,” katanya.
Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat, termasuk masalah air yang kerap digunakan sebagai modal oleh pembangkang di negeri ini.
“Pembangkang sering menggunakan masalah seperti air untuk cakap kita sebagai kerajaan gagal. Mereka pun tahu bahawa masalah ini kita warisi sejak dari dulu.
“Namun sebagai kerajaan bertanggungjawab, kita akan berusaha menyelesaikan masalah-masalah ini. Tapi inilah pembangkang, mereka tiada modal lagi,” katanya.