Advertisement

70,000 Penjawat Awam Buat Loan Peribadi Menjelang Hari Raya – Sabah News

KUALA LUMPUR: Jumlah penjawat awam melakukan pinjaman peribadi baharu meningkat sebanyak 10 peratus atau 70,000 orang menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Keadaan itu berbeza berban­ding bukan bulan musim perayaan iaitu 60,000 penjawat awam tanpa mengira gred melakukan pinjaman dengan kebanyakkan membabitkan pembiayaan peribadi.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, peningkatan 10 peratus itu seiring dengan trend tahunan di mana permohonan pinjaman pe­njawat awam cenderung meningkat pada musim perayaan dan waktu keperluan khas, lapor Suara TV.

Ia termasuklah menje­lang sesi pembukaan sekolah, kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi di samping untuk berbelanja untuk menyara keperluan harian.

Katanya, sebilangan penjawat awam, terutama mereka dalam kategori gaji rendah dan sederhana, tidak mempunyai simpanan kecemasan yang mencukupi sekali gus terpaksa mengambil pinjaman sebagai penyelesaian jangka pendek.

“Selain itu, keinginan untuk menyambut Aidilfitri dengan meriah mendorong sesetengah individu untuk berbelanja me­lebihi kemampuan mereka.

“Terutamanya bagi meme­nuhi keperluan keluarga dan memenuhi jangkaan masyarakat. Kos persiapan Aidilfitri seperti membeli pakaian baharu, menyediakan juadah istimewa, memberi duit raya dan pulang ke kampung menjadi beban tambahan yang perlu ditanggung, terutama bagi mereka yang berkeluarga.

“Angkasa menguruskan lebih 800,000 penjawat awam di Malaysia mempunyai pinjaman yang dilakukan melalui sistem potongan gaji dengan jumlah keseluruhan potongan gaji mencecah RM1.2 hingga RM1.5 bilion sebulan,” lapor Utusan pada Isnin.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, penjawat awam diseru agar berbelanja mengikut kemampuan bagi mengelak terjerat dengan hutang yang membebankan.

Katanya, ia satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan tatatertib sekiranya penjawat awam didapati berdepan keberhutangan yang tinggi sehingga 10 kali ganda gaji bulanan dibawah Sub-Peraturan 13 (7) Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Katanya, segelintir penjawat awam yang terjerumus dengan hutang disebabkan gaya hidup berlebihan serta kurangnya literasi kewangan.

Menurut Abdul Fatah, Angkasa menyarankan agar penjawat awam lebih berhemah dalam pengurusan kewangan dan tidak mengambil pinjaman melebihi 60 peratus daripada pendapatan bulanan.

“Tindakan ini bagi memastikan mereka dapat mengelakkan diri dari masalah kewangan jangka panjang.

“Had potongan gaji 60 peratus ini adalah garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memastikan penjawat awam masih mempunyai baki gaji mencukupi untuk keperluan asas,” katanya.

Selain itu katanya, mereka perlu mengelakkan amalan berhutang semata-mata untuk menukar perabot, langsir malah membeli kereta hanya untuk dilihat hebat semasa musim perayaan, sehingga sanggup membebankan kewangan mereka di kemudian hari.

Dalam pada itu, kata beliau, Angkasa menggalakkan koperasi dan institusi kewangan untuk menggunakan Sistem Pelaporan Kredit ANGKASA (SPeKAR) sebelum meluluskan pinjaman kepada penjawat awam.

Katanya, SPeKAR membolehkan pemberi pinjaman melakukan semakan kredit secara menyeluruh, termasuk rekod potongan gaji, komitmen hutang sedia ada dan status kewangan pemohon.

“Dengan adanya sistem ini peminjam dapat dinilai dengan lebih teliti, mengelakkan mereka daripada mengambil hutang yang melebihi kemampuan kewangan.

“Koperasi dan institusi kewangan dapat mengelakkan pemberian pinjaman bertindih yang boleh menyebabkan penjawat awam terperangkap dalam beban hutang yang tidak terka­wal,” katanya.