Advertisement

KTC Sumbang RM10,000 Kepada Tokong Kwan Tee Lahad Datu – Sabah News

LAHAD DATU: Sempena Jelajah Iftar 2025 tajaan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dengan kerjasama UPPM Sabah, Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau, hari ini mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Tokong Kwan Tee Lahad Datu.

Semasa ditemui pemberita di Majlis Berbuka Puasa KTC dan UPPM di Dewan Perdana Lahad Datu, Datuk Dexter Lau berkata, sepanjang jelajah ini, beliau berpeluang bertemu dengan rakan-rakan baru dan berkenalan dengan NGO tempatan.

“Apabila diminta untuk memberi sumbangan, saya tidak akan teragak-agak, tanpa mengira bangsa dan agama,” kata beliau.

Tambah beliau, sumbangan ini amat bermakna kerana ia merupakan inisiatif daripada PPM Segama, Datuk Mizma Appehdullah, untuk memperkenalkan beliau kepada NGO tempatan, lalu menjadikan sumbangan ini satu kenyataan.

“Saya juga sangat gembira melihat keharmonian antara komuniti-komuniti, dan bulan Ramadan ini adalah masa untuk melakukan kebaikan, saling membantu, dan mempereratkan hubungan antara semua pihak tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama,” kata Datuk Dexter.

Presiden Dewan Perniagaan Tiong-Hua Lahad Datu merangkap Presiden Persatuan Hokkien Lahad Datu, Tan Cheng Teng, turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Dexter Lau atas dermaan dan sokongan yang diberikan.