KOTA KINABALU: Penghuni penjara pusat di daerah ini diseru untuk memanfaatkan sepenuhnya sekolah Tahfiz yang telah ditubuhkan bagi penghuni dan pelajar tahfiz menumpukan hafalan Al-Quran kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam.
“Rebutlah peluang yang Jabatan Penjara sediakan ini dengan sebaik-baiknya. Di dalam ini pelajar tahfiz boleh menumpukan hafalan tanpa gangguan dari dunia luar dan jauh dari pengaruh media sosial.
“Saya doakan penghuni semua dapat menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup dan dapat membentu sahsiah diri yang lebih baik dari sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Program Berbuka Puasa Peringkat Prospek Tahun 2025 Masihi / 1446 Hijrah di sini, pada Jumaat.
Tambah beliau, sekolah tahfiz yang ditubuhkan oleh Penjara Pusat Kota Kinabalu itu telah pun mendapat kelulusan pendaftaran sejak Januari tahun ini.
“Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Falah merupakan sekolah tahfiz yang pertama ditubuhkan di Jabatan Penjara Negeri Sabah.
“Ini merupakan satu usaha yang murni dan seharusnya mendapat sokongan dan perhatian daripada semua pihak.
“Kerjasama dan penglibatan secara langsung daripada agensi agama seperti Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS); Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS); Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Yadim; dan NGO Islam lain amat diharapkan agar usaha ini berterusan sehingga mampu melahirkan generasi huffaz dari tembok penjara,” katanya.
Jelasnya lagi, pengendalian sekolah ini semestinya memerlukan peruntukan dengan jumlah tertentu.
Sokongan pihak MUIS dan JAKIM Sabah sebagai satu jabatan agama yang utama di negeri ini amat diharapkan bagi memastikan operasi sekolah berjalan dengan baik.