Advertisement

Shahelmy Nafi Digantung Umno, Keputusan Calon Ditentukan Pengerusi BN – Sabah News

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmy Yahya menegaskan beliau belum menerima surat rasmi mengenai penggantungan keahliannya dalam Umno.

“Saya telah menyemak dengan ibu pejabat Umno dan tiada penggantungan. Saya juga tidak pernah menerima surat penggantungan,” katanya, menyangkal dakwaan Ketua Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin.

Beliau turut menegaskan bahawa Bung tidak mempunyai kuasa menentukan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang.

“Keputusan calon BN ditentukan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana watikah pencalonan perlu ditandatangani oleh beliau,” katanya.

Mengulas pengumuman Bung yang menamakan Jeffrey Noh Mohmed sebagai calon Tanjung Keramat, Shahelmy berkata ia hanya hasrat Bung dan keputusan sebenar dibuat oleh Pengerusi BN.

Beliau turut menepis dakwaan bahawa beliau akan kehilangan kerusi Parlimen Putatan sekiranya bertanding atas tiket parti lain, menyatakan statusnya sebagai Ahli Parlimen Putatan dan Adun Tanjung Keramat masih kekal.

“Persoalan sama ada saya akan bertanding lagi dan di bawah tiket parti mana, saya akan umumkan kemudian,” katanya ketika majlis iftar di sini pada Ahad.

Shahelmy berkata jentera kempennya sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya negeri menjelang tamatnya penggal Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16 pada Oktober.