Advertisement

121 PATI Warga Indonesia Dihantar Pulang Melalui Tawau ke Nunukan – Sabah News

TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah telah menghantar pulang seramai 121 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia melalui Tawau Ke Nunukan, semalam.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof dalam kenyataannya berkata, kesemua PATI terbabit merupakan tahanan daripada Depot Imigresen Tawau, berumur lingkungan 5 tahun hingga 69 tahun.

“Kanak-kanak yang mengikuti program pemindahan tersebut turut diiringi oleh ibu bapa atau penjaga yang sah,” katanya di sini, semalam.

Tambahnya lagi, Jumlah PATI warganegara Indonesia yang berjaya dipindahkan ke negara asal adalah seramai 773 orang dan menyumbang kepada jumlah keseluruhan tahanan PATI yang berjaya dipindahkan ke negara asal iaitu seramai 2,821 orang sehingga semalam.

“Semua PATI telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan serta mempunyai Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang sah dan dikeluarkan oleh pihak Konsulat Republik Indonesia (KRI) untuk melayakkan diri mengikuti proses pemindahan tahanan PATI ke negara asal.

“Pada masa sama, JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.

“Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah,” katanya lagi.

Tegas beliau, individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Pihaknya turut menasihatkan majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.

JIM Sabah akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras PATI di negara ini.