Advertisement

Usahawan Muda Dinasihat Sertai PPK, Memudahkan Dapat Pelbagai Insentif Kerajaan

TAWAU: Usahawan Muda di Tawau dinasihatkan agar menyertai Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berhampiran bagi memudahkan mendapatkan pelbagai insentif yang disediakan kerajaan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild Awang berkata, ramai usahawan dan peniaga muda kini memilih bidang perniagaan sebagai satu peluang kerjaya.

Justeru, mereka mempunyai potensi besar untuk mendapatkan bantuan dibawah Program Agropreneur Muda selain bimbingan dan nasihat melalui kursus yang diadakan.

Selain itu katanya, kerajaan telah menyediakan berbagai-bagai program latihan dan juga untuk meningkatkan ekonomi para usaha-usaha yang ada di luar sana.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tawau berkata, demikian kepada pemberita pada Program Memasak Bubur Manis di Bandar Sri Indah (BSI) Tawau.

Katanya, PPK Tawau komited meningkatkan taraf ekonomi dan sosial 3,000 ahlinya dan sentiasa berusaha untuk mewujudkan masyarakat tani yang progresif, berdikari, makmur dan bersatupadu.

Program Tahunan anjuran Pejabat ADUN Balung dan PPK Tawau ini mengagihkan 3-ribu bekas bubur manis kepada orang ramai dan 10 Maahad Tahfiz di daerah itu.