PUTATAN: Sebuah lori treler dan sebuah van jenis Nissan Urvan telah bertembung dalam kejadian kemalangan di Jalan Lintas awal pagi tadi.
Dilaporkan, seorang mangsa yang merupakan pemandu van tersebut mengalami patah kaki akibat dari pertembungan itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noorsherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.16 pagi.
Katanya, seramai empat anggota dari BBP Putatan telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 10 kilometer dan tiba pada jam 5.23 pagi.
“Lapor setibanya di lokasi, kemalangan melibatkan sebuah lori treler dan sebuah Nissan Urvan telah bertembung.
“Terdapat dua mangsa yang terlibat, iaitu pemandu dan penumpang yang berada di Nissan Urvan.
“Pemandu, iaitu lelaki berusia 32 tahun telah tersepit dan patah kaki berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba, manakala penumpang, iaitu perempuan berusia 61 tahun hanya mengalami cedera ringan,” katanya di sini, hari ini.
Kedua mangsa yang terlibat seterusnya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut.
Pemeriksaan seterusnya dijalankan di lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain dan operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.32 pagi.