TAWAU: Polis menahan seorang pemuda disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Berdasarkan saringan awal air kencing, suspek didapati positif Methamphemine dan Amphetamine.
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin suspek seorang warganegara berumur 32 tahun ditahan di sebuah rumah di kawasan Kalabakan tengah malam tadi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Tawau.
“Hasil pemeriksaan menyeluruh dirumah suspek menjumpai sebuah kotak besi berwarna ungu mengandungi satu paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 5.45 gram” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kesemua barang rampasan untuk dijadikan barang kes bersama suspek dibawa balik ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut. Siasatan awal juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Kes akan disiasat dibawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta sebat tidak kurang dari tiga kali dan tidak melebihi sembilan kali, jika sabit kesalahan.