PUCHONG: Ibu kepada Prebet Muhammad Muqriz Aseri yang meninggal dunia pada Isnin lepas, menyifatkan anaknya itu seorang yang amat meminati bidang ketenteraan.
Nor Azlina Zambri, 45, berkata anak kedua dari empat beradik itu berjaya mencapai cita-citanya menjadi tentera pada Disember 2023 selepas dua kali percubaan.
“Angah (Muhammad Muqriz) pernah bergurau mahu berkahwin awal kerana tidak mahu tinggal di bilik bujang kem tempat dia bertugas. Apabila ditanya, dia hanya cakap tiada apa-apa dan hanya bergurau saja,” katanya ditemui di rumah mereka di Taman Puchong Perdana, semalam.
Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan semalam memaklumkan punca kematian Muhammad Muqriz, 21, daripada Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD), Kem Sri Miri, Sarawak adalah akibat trauma tumpul pada dada.
Nor Azlina berkata anaknya juga tidak pernah bercerita mengenai sebarang kejadian yang dilalui sepanjang berkhidmat dalam tentera termasuk di 20 RAMD.
“Angah sudah bertugas selama 10 bulan di kem berkenaan dan tidak pernah bercerita apa-apa. Cuma seminggu selepas ditempatkan di Sarawak, dia ada mengadu tidak tahan dan mahu berhenti secara baik.
“Kami memberi sokongan dan kata-kata semangat kepadanya supaya dia terus kuat. Tidak lama selepas itu arwah beritahu semua sudah okay,” katanya.
Beliau berkata kenangan terakhir bersama Allahyarham ialah ketika anaknya itu pulang bercuti selama 10 hari dan berkesempatan berpuasa bersama keluarga.
Walaupun sedih dengan pemergian anaknya itu, Nor Azlina menyerahkan sepenuhnya siasatan kes berkenaan kepada polis dan Angkatan Tentera Malaysia serta berharap kejadian sama tidak berulang kepada mana-mana anggota.
Sementara itu bapa Allahyarham, Aseri Ismail, 49, berkata beliau tidak pernah menyesal membenarkan Muhammad Muqriz menyertai ATM, malah berbangga anaknya pernah berkhidmat untuk negara.
Jenazah Muhammad Muqriz diterbangkan ke Kuala Lumpur dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Islamiah, Petaling Jaya pada 11.55 malam semalam. – BERNAMA