Advertisement

Perayaan Ulang Tahun TYT Sabah Dipendekkan, Bajet Dipotong 30 Peratus – Joachim  – Sabah News

KOTA KINABALU: Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, menjelaskan bahawa perayaan tersebut tidak akan berlangsung selama tiga bulan seperti yang didakwa, sebaliknya hanya dalam tempoh sebulan pada Jun 2025.

Menurut Joachim, keputusan itu selaras dengan arahan Kabinet Negeri Sabah, yang menetapkan program rasmi sambutan tahun ini akan diadakan pada 21 Jun 2025.

“Jumlah acara juga telah dikurangkan daripada 12 pada tahun lalu kepada tujuh sahaja tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa peruntukan perbelanjaan sambutan dikurangkan sebanyak 30 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Semua tujuh acara yang dianjurkan adalah program lazim yang diadakan sempena ulang tahun rasmi Tuan Yang Terutama, sama seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Beliau berharap penjelasan itu dapat mengelakkan sebarang kekeliruan mengenai tempoh dan skala sambutan tersebut.