Advertisement

SEDCO Mining Kini Syarikat Tunggal Urus Perlombongan Pasir Sabah

KOTA KINABALU: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), melalui anak syarikatnya SEDCO Mining Sdn Bhd (SMSB), kini menjadi entiti tunggal yang bertanggungjawab mengurus perlombongan pasir sungai dan laut di Sabah.

Dalam satu majlis semalam, Jabatan Tanah dan Ukur menyerahkan data migrasi TOL kepada SMSB sebagai sebahagian daripada mandat kerajaan negeri sejak 2009.

SMSB, yang ditubuhkan pada Ogos 2023, telah aktif beroperasi sejak 2024 untuk memastikan pengurusan sumber pasir lebih cekap dan berdaya tahan.

Pengerusi SEDCO, Datuk Rubin Balang berkata antara manfaat pengurusan baharu adalah ketelusan hasil negeri.

“Sistem pemantauan berpusat meningkatkan ketelusan, mengurangkan ketirisan, dan memastikan kelestarian sumber dengan kawalan ketat terhadap hakisan serta pencemaran.

“Teknologi moden dan penyelarasan vendor mempercepat operasi, sementara vendor tempatan yang layak diberi keutamaan,” jelasnya.

CEO SEDCO Mining, Shamsul Bahri Johari, menerima penyerahan data migrasi daripada Robert Robin Millip dari Jabatan Tanah dan Ukur, disaksikan oleh Rubin.

Turut hadir dalam majlis itu ialah pegawai kanan kerajaan negeri dan pengurusan tertinggi SEDCO.

SEDCO Mining berharap langkah ini akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi Sabah dan melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera dalam industri perlombongan.