Advertisement

Kerajaan Sabah Peruntuk RM5 Juta Untuk Sambutan Pesta Kaamatan 2025 – Sabah News

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi menjayakan sambutan Pesta Kaamatan 2025.

Ianya perayaan tahunan yang diraikan oleh masyarakat Kadazandusun Murut Rungus (KDMR) sebagai simbol kesyukuran atas hasil tuaian.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Jeffrey Kitingan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Peringkat Negeri, mengumumkan peruntukan tersebut dalam satu mesyuarat yang diadakan di Wisma Pertanian baru-baru ini.

Menurut beliau, tahun ini Tambunan telah dipilih sebagai tuan rumah bagi majlis perasmian rasmi sambutan tersebut, manakala majlis kemuncak dan penutupan Unduk Ngadau tetap akan diadakan di Kadazandusun Cultural Association (KDCA), Penampang.

“Tema sambutan tahun ini ialah ‘Kaamatan untuk Semua’, yang menekankan kepentingan perpaduan dalam kepelbagaian budaya di Sabah. Perayaan ini bukan hanya untuk masyarakat KDMR, tetapi untuk seluruh rakyat negeri ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Jeffrey turut mendedahkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi akan diundang bagi merasmikan majlis penutupan Pesta Kaamatan.

Beliau menambah bahawa pelbagai aktiviti kebudayaan, pertandingan, dan acara tradisional akan diadakan sepanjang sambutan, termasuk perlumbaan kerbau, pertandingan sugandoi (nyanyian tradisional), pertandingan memasak makanan tradisional, serta pameran budaya dan warisan.

Pesta Kaamatan merupakan salah satu perayaan terbesar di Sabah, disambut sepanjang bulan Mei dengan acara kemuncak pada 30 dan 31 Mei.

Perayaan ini bukan sahaja memperkukuhkan identiti budaya masyarakat KDMR tetapi juga menarik pelancong tempatan dan antarabangsa untuk merasai keunikan tradisi Sabah.