SANDAKAN: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) telah berjaya
melaksanakan Pemindahan Tahanan Asing Ke Negara Asal yang melibatkan 709
orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina daripada Depot
Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Sandakan dan Depot Imigresen Tawau pada 26 Mac lalu.
Kesemua PATI dewasa dan kanak-kanak yang terlibat adalah berumur sekitar 3
bulan sehingga 70 tahun.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, sehingga ke hari ini, seramai 2700 orang warganegara Filipina telah berjaya dipindahkan ke negara asal dengan kerjasama penuh daripada pihak Kedutaan Republik Filipina yang bertanggungjawab dalam pengeluaran Travel Documents (TD).
“Pemindahan warganegara Filipina adalah melalui pintu masuk laut Negeri Sabah menggunakan pengangkutan laut feri MV ANTONIA 1 yang menghubungkan secara terus ke Zamboanga City, Filipina.
“PATI yang dipindahkan telah dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan
di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan
Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.
“PATI tersebut telah selesai menjalani hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindahan ke negara asal setelah lengkap dokumen perjalanan. Kesemua tahanan PATI ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang telah dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Berdasarkan rekod statistik terkini Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, bilangan
tertinggi warganegara yang dipindahkan adalah warganegara Filipina iaitu seramai 2700
orang, diikuti oleh 733 orang warganegara Indonesia, 53 orang warganegara Pakistan, 32 orang warganegara China, 3 orang warganegara Vietnam dan 7 orang lain-lain
warganegara.
Jumlah keseluruhan tahanan PATI yang telah menyertai program pemindahan ini adalah seramai 3,528 orang.
Kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan PATI warganegara Filipina oleh
JIM Sabah adalah tertakluk dengan pengeluaran Travel Document (TD) secara
berterusan oleh pihak Kedutaan Republik Filipina di Malaysia.
Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan Jabatan Imigresen Negeri Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi kesemua tahanan yang ditempatkan di Depot-Depot Imigresen Negeri Sabah untuk mengelak tempoh penahanan yang panjang.
Jabatan Imigresen Negeri Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana
warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.
Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang
menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah dan individu
yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub di
bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Jabatan juga menasihatkan para majikan dan masyarakat supaya mengambil
warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan
undang-undang.