Advertisement

Mitsubishi Triton Terbabas Sendiri di Kg Buis Telupid, Pemandu Maut, Tiga Lagi Cedera – Sabah News

TELUPID: Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton terbabas sendiri dalam satu kejadian kemalangan di Kampung Buis, Kiabau, semalam.

Dilaporkan, pemandu iaitu seorang lelaki berusia 46 tahun meninggal dunia di lokasi, manakala tiga lagi mangsa merupakan penumpang dilaporkan mengalami cedera. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.02 malam.

Katanya, seramai lima anggota dari BBP Beluran dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 70 kilometer.

“Lapor kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton terbabas sendiri.

“Terdapat empat mangsa terlibat, dua mangsa telah dihantar oleh orang awam ke Klinik Telupid, seorang mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi.

“Manakala satu lagi mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas (Rescue tools) dan mangsa disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan sebelum diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Setelah memastikan tiada Bahaya lain di lokasi operasi ditamatkan pada jam 11.30 malam.