PENAMPANG, SABAH – Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton, mengesahkan kejadian kemalangan jalan raya tular di Putatan, yang melibatkan sebuah motosikal dan dua buah motokar pada Jumaat kira-kira jam 3.20 petang.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati penunggang motosikal, seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun, dipercayai hilang kawalan lalu melanggar sebuah motokar di hadapannya.
“Sejurus selepas kemalangan, penunggang motosikal tersebut meluru ke arah kenderaan lain di belakangnya lalu memukul cermin tingkap sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah bahawa insiden tersebut telah diselesaikan secara baik antara penunggang motosikal dan pemilik motokar Kenari yang terlibat.
“Pihak polis menasihatkan masyarakat supaya tidak menularkan klip video kejadian bagi menjaga sensitiviti pihak terlibat,” katanya lagi.
Sammy turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini akibat kecuaian atau tindakan tidak bertanggungjawab.