Advertisement

UMNO Ingin Kembali Terajui Kerajaan Negeri Sabah, Apa Pandangan Anda? – Sabah News

KOTA KINABALU: Hasrat UMNO untuk kembali menerajui kerajaan negeri Sabah semakin menjadi tumpuan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan. Persoalannya, adakah rakyat Sabah bersedia memberi peluang semula kepada parti itu?

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya kini sedang mengadakan perbincangan bagi mencari formula terbaik.

“Banyak dia punya opsyen…tapi opsyen terbaik untuk UMNO dan BN di Sabah untuk kita pilih supaya dapat mengembalikan semula kekuatan kita serta menerajui negeri Sabah, Kerajaan Negeri Sabah.

“BN, UMNO memang menjadi parti yang pernah mentadbir Sabah dan kita seharusnya bersiap sedia untuk kita mengharungi pilihanraya Sabah ini,” katanya dipetik Kosmo di sebuah majlis berbuka puasa semalam.

Beliau berkata berkata UMNO dan BN akan bersama-sama duduk dengan kepimpinan di Sabah untuk mencari strategi terbaik untuk menjadi kerajaan semula.

“PRN Sabah ke-17 itu perlu diadakan selewat-lewatnya pada 9 Dis 2025 bagi memilih seramai 73 Adun baru,” katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, manakala menegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional berhasrat untuk membentuk kerajaan negeri sendiri tanpa bergantung kepada parti lain.

Katanya, kepimpinan UMNO Sabah telah melakukan muhasabah dan bersedia menawarkan pentadbiran yang lebih stabil serta berpaksikan kepentingan rakyat.

“BN dan UMNO perlu menjadi tunjang dalam pentadbiran negeri. Kita mempunyai pengalaman dan kemampuan untuk mengembalikan kestabilan politik Sabah,” katanya.

Namun, realiti politik Sabah yang berpecah kepada pelbagai gabungan seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan menimbulkan cabaran buat UMNO. Apatah lagi, beberapa pemimpin yang dahulunya bersama UMNO kini memilih untuk bersama kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam konteks ini, apakah keyakinan rakyat terhadap UMNO masih kukuh selepas perubahan landskap politik sejak PRU-14? Mampukah UMNO mendapatkan sokongan dalam kalangan pengundi muda yang kini lebih cenderung kepada gabungan baharu?

Ketika parti itu menyusun strategi untuk kembali berkuasa, rakyat Sabah pastinya akan menilai rekod pentadbiran lepas dan sejauh mana UMNO mampu menawarkan sesuatu yang lebih baik berbanding gabungan sedia ada.

Apa pandangan anda? Adakah UMNO mampu kembali menerajui Sabah, atau rakyat lebih cenderung kepada kepimpinan sedia ada?